Assalamualaikum.
Setelah sekian lama aku tak membuka blog ini, jauh sekali untuk mengarang sesuatu di sini. Di hening petang yang redup, tambahan pula sekarang sedang bermusim tengkujuh. Hujannya tidak henti, banjirnya serata tempat. Kebanyakan tempat di pantai timur sudah di banjiri air. Ok! berbalik pada niat aku tadi. Aku ada draf satu artikel yang entah dari mana aku jumpa dahulu. Rupanya banyak entry yg aku draf kan dan tidak publish di blog ni.
Banyak perkara yang terjadi di zaman aku menuntut di Universiti dahulu. Ianya mengajar aku untuk lebih serius serta komited dalam hidup dan pengalaman yang tidak seberapa pahit itu memberi aku inspirasi untuk mencari makna sebenar sesebuah kehidupan berpasangan. Jadi, aku mahu korang semua baca artikel ini sebagai panduan. Tidak kiralah lelaki atau pun perempuan, walaupun tajuknya lebih khas buat wanita. Tetapi, bacalah untuk anda mengerti sesuatu yang anda cari selama ini.
Draft 001
Apakah Kriteria Lelaki Yang Paling Ideal?Oleh: Husna Abdul Wahab
Majalah
Sinar Rohani, Oktober 2004
Sering kita mendengar
maksud sepotong hadith yang berbunyi, “Dikahwini wanita itu
(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam
pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Secara umumnya hadith ini
menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik
perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,
berharta, berdarjat tinggi dancantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun
hati kaum lelaki untuk menyuntingnya.
Namun yang lebih penting
hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal
isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan
wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan
pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.
Bagaimana pula ciri-ciri
lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika hadith di atas
memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka,
maka di samping itu Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam
memilih bakal suami mereka.
Hal ini disebabkan aspek
memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang
mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa
penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal
kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani
besama dengan pasangan.
Lebih-lebih lagi bagi
seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu latar
belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya. Ini kerana
menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan
buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan
baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan
sebagainya.
Adalah menjadi kewajipan
ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak perempuan
mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak
tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu
dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia
(dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan
berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Sesungguhnya sifat-sifat
inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama
di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada
sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang
sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala
perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya,
sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya
raya, hakikatnya ia adalah miskin.
Mengapa demikian?
Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui
aktiviti perujudian, minuman keras, berkunjung ke tempat- tempat
maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya
hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana
tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan.
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas
sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Suami yang hidup dalam
kefasikan bermakna mengundang murka Allah SWT. Jika
Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumahtangga
akan dapat dinikmati?
Diriwayatkan dalam sebuah
kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu
Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anak perempuanku
dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang
bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan
menjawab, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada
Allah, kerana jika ia menyukai isterinya ia pasti mengasihinya,
teteapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan
berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.
Prof. Dr. Miqdad Yaljan
dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama Yanbaghi An
Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup keseluruhannya.
Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian terhadap
bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.
Menurut beliau lagi,
sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih mendatangkan
kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari sudut
sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negative sesetengah
masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi tekanan
perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai
oleh golongan wanita berbanding lelaki.
Rasulullah SAW juga amat
benci kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan
anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda mengingatkan
dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menikahkan
anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan
silaturrahim dengan anaknya sendiri”.
Lihatlah betapa tegasnya
Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak
perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi
dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik.
Apakah fitnah atau
malapetaka yang lebih besar selain daripada menikahkan
anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat menjalankan
suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah
Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?
Kita melihat bahawa berapa
ramai anak-anak perempuan yang ketika berada di bawah naungan
keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi apabila
berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat
yang diterajui oleh suami mereka sendiri.
Gadis yang pada mulanya
berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh kesesatan
suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan
solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya. Semua ini jelas merupakan kerugian
yang nyata sekali bagi dirinya.
Oleh sebab itu, amat
wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana bapa atau wali yang
mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik, yang
seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuannya
sendiri.
Kesimpulannya, kaum wanita
perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan
jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang
berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial”
yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih
sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab,
toleransi dan sebagainya.
Hayatilah firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Dan kahwinkanlah
orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang
yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika
mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan
limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha
Mengetahui”. (an-Nur: 32)