selamat hari raya!

Monday, August 29, 2011

3 lover


ASSALAMUALAIKUM

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan “selamat menyambut hari lebaran”
kepada blogger sekalian dan tidak lupa juga kepada sahabat² ataupun kenalan saya serta keluarga tercinta.


"Sabarlah dengan segala ujian yg Allah beri, kerana Allah takkan memberi suatu ujian itu diluar kemampuan hambaNya. Pabila diberi ujian dari Allah, itu menunjukkan Allah masih ingat,sayang pada hambaNya. Manfaatkanlah segala pemberian. Tidak semestinya yg Manis itu Manis dan yg Pahit itu Pahit, hanya Allah yg tahu ape yg tersirat disebalik kejadian."


Jika sayang seseorang

Wednesday, August 24, 2011

0 lover


Jika kamu memancing ikan….
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu….
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja….
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.
Begitulah juga ………
Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang…
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya….
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja….
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu. …
Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh….
cukuplah sekadar keperluanmu. …
Apabila sekali ia retak….
tentu sukar untuk kamu menambalnya semula….
Akhirnya ia dibuang….
Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi….
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya….
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa….
Anggaplah dia manusia biasa.
Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya….
akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya….
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi…yang kamu pasti baik untuk dirimu.
Mengenyangkan. Berkhasiat.Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya.
Kamu akan menyesal.
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan…..
yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.
MENYAYANGIMU. ..MENGASIHIMU. ..
Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.
Terlalu mengejar kesempurnaan.
Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain…
Kamu juga yang akan MENYESAL…


""Walau seremuk mana hati dilukai, bentuklah ia semula dan serahkannya pada yang Ilahi." ♥


Seorang pendosa yang memasuki Ramadhan.

Tuesday, August 23, 2011

0 lover


Kamu, saya dan mereka. Kita semua adalah pendosa. Ya. Sungguh, banyak kesilapan telah kita lakukan, hasil kelalaian kita selama ini. Sudah diingatkan berkali-kali tetapi tetap alpa dan leka. Akhirnya terpalitlah pada diri ini dosa-dosa, yang kalau kita lakarkan lukisan bentuk hati di atas kertas dan menitik satu titik hitam bagi setiap dosa, nescaya mungkin gelaplah lakaran bentuk hati itu lantaran banyaknya dosa-dosa kita.

Namun, pendosa seperti kita ini, Allah SWT berikan lagi Ramadhan kepadanya.
Apakah perasaan?

Jujurnya, saya rasa terharu apabila seorang pendosa seperti saya, diberikan oleh Allah SWT peluang untuk memasuki Ramadhan yang teramat-amat mulia ini.

Ya. Terharu. Seakan-akan Allah SWT bersuara:
“Nah, ini peluang untuk kamu membersihkan diri.”
Seakan-akan, ini adalah bukti tanda Allah masih ‘mahu’ pendosa ini memasuki syurgaNya.


Ramadhan yang mahal buat pendosa.

Hanya orang yang mati sahaja akan mengetahui nikmat hidup. Dan hanya orang yang mati sebelum Ramadhan sahaja yang akan mengetahui betapa mahalnya sebuah Ramadhan untuk dirinya.

Ramadhan adalah medan di mana Allah lambakkan segala ganjaran. Tetapi lebih dari ganjaran-ganjaran tersebut adalah, Ramadhan ini Allah lambakkan juga dengan peluang-peluang keampunan yang terbuka luas.

Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…”Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.

Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.

Mengapa peluang keampunan itu mahal?
Kerana keampunan itu memadamkan dosa-dosa.

Apakah yang lebih bermakna untuk seorang pendosa, selain dipadamkan dosa-dosanya?


Allah masih memandang kita. Apakah yang lebih besar?

Dan perasaan bahawa Allah SWT masih memandang kita, masih memberikan peluang kepada kita, nyatanya di situ ada tanda yang jelas bahawa ALLAH MASIH SAYANG KITA, justeru hati pendosa mana yang tidak kembang dengan perkara ini?
Seakan-akan orang yang lapar tidak makan berhari-hari, yang kemudiannya diberikan makanan. Begitulah pendosa-pendosa yang gelisah dengan dosa-dosanya dan kemudian diberikan ruang keampunan. Pasti ‘Sang Pemberi’ punya rasa belas.

Tidakkah kita rasa bertuah, di’belas kasihan’kan Allah SWT?

Allah SWT! Siapakah Allah? Tuhan Sekalian Alam. Yang Di tanganNya langit dan bumi. Yang Menguasai Segala-gala. Yang Maha Perkasa. Allah itulah yang sedang memandang kita para pendosa dan memberikan belas kasihanNya kepada kita dengan memberikan peluang Ramadhan kali ini buat kita.

Kita! Siapakah kita? Kita yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Kita yang bila diberikan peringatan lupa. Kita yang bila ditegur tak ambil peduli. Kita yang terus-terusan mengulang dosa yang sama. Kita yang lambat bergerak menghargai peluang keampunanNya selama ini.

Apakah yang lebih besar dari perasaan “Allah Masih Memandang Aku. Allah Masih Sayang Aku.” Ini?

Nyata orang-orang yang melihat akan tersedar, lantas mengambil peluang Ramadhan ini.

Allah masih sayangkan kita.
Kita. Pendosa.


Penutup: Motivasi buat pendosa yang masih hidup. Ramadhan ini, berubahlah.

Tanda bersyukur bukanlah hanya dengan menyebut alhamdulillah.
Orang yang bersyukur dengan pemberian kedua-dua ibu bapanya, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik. Ibu bapa beri duit untuk dia belajar, dia belajar bersungguh-sungguh.

Maka orang yang bersyukur dengan pemberian Allah SWT, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik juga. Allah SWT memberikan kita Ramadhan untuk menjadi lebih baik, maka kita mengambil segala peluang yang wujud di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh.

Kalau Allah benci dengan kita, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum Ramadhan.

Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini.
Tetapi sekarang, Ramadhan telah tiba dan kita berada di dalamnya.

Maka marilah kita, para pendosa yang masih hidup ini, bersyukur, dengan mengambil peluang Ramadhan ini, menjadikan Ramadhan kali ini medan perubahan kita.

Ayuh!


Mana mak?

Saturday, August 20, 2011

0 lover



Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.


Ayah baru balik dari sawah.


Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian:

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

~Perkongsian Dari Hamba Allah~


4 Cara Mudah Mendidik Anak Kreatif

Wednesday, August 17, 2011

0 lover

Apa yang anda tuturkan besar pengaruhnya terhadap kebolehan anak anda untuk berfikir dan bertindak secara kreatif.
Menurut ceritanya, Singapura yang dahulu dikenali sebagai Temasek, pernah diserang segerombolan ikan todak. Raja memerintahkan rakyat jelata untuk membunuh ikan-ikan ini. Bagaimanapun, ikan-ikan ini dengan mudah menumpaskan mereka. Satu demi satu pahlawan Singapura rebah ke bumi akibat tikaman beracun ikan-ikan todak ini.
Ketika itu, muncul seorang budak lelaki bernama Hang Nadim. Dia menyuarakan satu cadangan: Mengapa tidak gunakan batang pisang saja untuk memerangkap ikan-ikan tersebut? Rupa-rupanya, ini idea yang bernas. Pendek cerita, Singapura terselamat hasil idea yang mudah tetapi bijak tersebut.
Cerita Hang Nadim membuktikan apa yang berlaku jika kanak-kanak diberi ruang untuk berfikir secara kreatif. Saya percaya, kebanyakan daripada pereka-pereka dunia pasti ada seorang dewasa, mungkin ayah atau ibu atau guru, yang tidak jemu memberi ruang dan kata perangsang kepada mereka untuk berjaya. Inilah anak-anak yang daya kreativitinya menghasilkan pelbagai benda yang dimanfaatkan oleh insan serata dunia. Daripada telefon mudah alih ke sistem Internet ke kaedah pembedahan laser, kesemuanya membuka jalan untuk kita hidup lebih sempurna.
Berfikir secara kreatif adalah suatu kelebihan yang boleh dipupuk dalam diri anak-anak. Cara-cara mudah termasuk:
1. LAYANI DAYA KREATIVITI ANAK ANDA
Kanak-kanak dilahirkan bersifat kreatif. Lihat sahaja George de Mestral yang mereka cipta Velcro pada awal 1900an. Sewaktu kecil, George amat gemar bermain di luar dan mereka cipta pelbagai benda. Setiap kali berlari-lari di padang, dia amat kurang senang dengan sejenis bunga rumput liar yang melekat di seluarnya. Suatu hari, sekembalinya ke rumah, dia mengambil mikroskop dan meneliti bunga rumput liar itu. Rupa-rupanya bunga rumput itu ada beratus-ratus "hook" atau penyangkut halus yang tersangkut pada seluarnya! Dari sinilah tercetusnya idea untuk mereka cipta Velcro!
2. CERITAKAN KREATIVITI PELBAGAI JENIS
Media sering mengetengahkan beberapa aktiviti tertentu sebagai bercorak kreatif, contohnya melukis, menulis dan berlakun. Oleh itu, anak anda mungkin menyangka dia tidak kreatif jika dia tidak berminat dalam sebarang bidang ini. Sebenarnya, kreativiti merangkumi bidang yang amat luas. Kreativiti yang terbaik ialah kebolehan untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi apa jua situasi sukar yang anak anda tempuhi di dunia ini.
3. GALAKKAN ANAK BERFIKIR SECARA TERSENDIRI
Jangan sekali-kali diperli atau diperkecilkan idea yang diutarakan oleh anak anda.Kreativiti membabitkan dua proses : BERFIKIR secara kreatif dan MENGHASILKAN sesuatu yang kreatif, iaitu tidak seperti yang difikirkan oleh orang lain. Kanak-kanak perlukan dorongan untuk terus kreatif. Asalkan anda sanggup menyediakan ruang dan masa untuk dua perkara ini, selagi itulah anak anda merasa didorong dan disokong.
Contohnya:
Jika anda terlihat anak anda menyusun beberapa keping blok secara mendatar berkali-kali, tanya dia : "Mungkinkah ada cara lain untuk menyusun blok-blok ini?"
4. BERSEDIA UNTUK MELABUR
Besar kemungkinan, anak anda perlukan bantuan dari segi masa, ruang dan wang untuk menukar ideanya menjadi suatu realiti. Anggaplah masa, ruang dan wang yang anda belanjakan sebagai suatu pelaburan, bukannya kos yang membazirkan, meskipun hasilnya tidak seperti yang anda atau dia impikan. Tentunya dia belajar sesuatu yang berharga sepanjang usaha tersebut.
Kembali kita ke cerita Hang Nadim. Pemikirannya yang bijak menjadikannya seorang yang disegani di pulau Singapura. Timbul pula rasa iri hati di kalangan sesetengah pihak. Suatu hari, seorang insan yang terlalu cemburu dengan kelebihan Hang Nadim membisikkan kepada Raja bahawa Hang Nadim suatu hari nanti akan menjadi ancaman terhadap pengaruh dan kuasa baginda. Malah, tentu Hang Nadim akan menggulingkan dan merampas kuasa baginda bila dewasa nanti! Akhirnya, Raja memerintahkan Hang Nadim supaya dibuang ke laut. Benar atau tidak kisah ini, Wallahua'lam.
Sebagai ibu bapa, mungkin kita tidak sekejam Raja dalam cerita di atas. Namun, kita mungkin terasa tidak senang bila anak kita menyuarakan sesuatu idea yang berbeza. Kita mungkin merasa tercabar bila tidak mampu menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh anak kita sendiri.
Sebenarnya, anak-anak perlu belajar bahawa ibu bapa tidak mempunyai jawapan bagi kesemua soalan mereka. Oleh itu, untuk memastikan anak anda terus kreatif, jangan persendakan idea-idea yang anak anda berikan, meskipun bunyinya tidak masuk akal bagi anda.